Mengapa Kita perlu KURUS??
ni artikel diambil dari utusan Malaysia. akan menjawab persoalan di atas secara menyeluruh.
MASALAH 3G iaitu Gebu, Gempal dan Gemuk bukan sahaja memberi kesan
kepada kesihatan tetapi turut mempengaruhi psikologi individu.
Apabila 3G menyumbang kepada peningkatan risiko masalah kesihatan
antara lainnya seperti mendapat kanser payu dara, kanser kolon, prostat,
ia juga turut memberi kesan psikologi yang boleh membawa kepada konsep
kendiri yang rendah, penarikan diri daripada membina hubungan,
pengasingan sosial, kebimbangan dan kesankesan psikologi yang lain.
Kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan menunjukkan
hampir 20 peratus penduduk dewasa dan 21 peratus kanak-kanak di negara
ini mengalami masalah 3G.
Gejala 3G ini dikatakan menjadi masalah kesihatan yang semakin
serius. Ini kerana kegemukan adalah permulaan untuk mendapat penyakit
kronik seperti jantung, koronari, diabetes dan strok.
Memandangkan gejala 3G ini sudah menjadi masalah kesihatan yang
semakin serius, langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan oleh semua
pihak.
Masalah kegemukan bukan sahaja dialami oleh penduduk negara ini.
Kajian oleh American Medical Association menunjukkan peningkatan jumlah
kes gemuk berlebihan dari tahun 1991 hingga 1998 di Amerika Syarikat
(AS).
Seorang ahli psikologi menjelaskan bahawa masyarakat AS mempunyai wang yang lebih dan mengalami gaya hidup yang lebih sibuk.
Oleh itu, cara pemakanan turut berubah di mana mereka lebih menggemari makanan segera.
Kajian tersebut juga menunjukkan masalah kegemukan berbeza mengikut
demografi. Kajian itu mendapati terlalu banyak makanan yang
menyelerakan dan kurang senaman adalah juga antara punca kegemukan.
Di negara ini, 3G antara lainnya disebabkan daripada perubahan gaya
hidup rakyat negara ini ekoran pertumbuhan pesat sosioekonomi yang
memberangsangkan.
Seperti yang dikatakan, kesan 3G juga turut dirasai secara
psikologinya. Kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan berlebihan
sering menerima stigma oleh rakan-rakan sebaya mereka. Menerima ejekan
dan panggilan nama serta mengalami pengasingan sosial, tidak diterima
oleh rakan-rakan adalah antara kesan-kesan yang boleh diterima oleh
pelajar-pelajar sekolah yang menghadapi masalah kegemukan berlebihan
(Strauss & Pollack, 2003).
Kesan-kesan segera kegemukan berlebihan dikaitkan pula dengan kesan
psikologikal seperti mempunyai konsep kendiri yang rendah, mengalami
masalah psikologikal seperti mempunyai tingkah laku untuk mengawal
berat badan yang tidak sihat seperti bulimia.
Kanak-kanak yang mengalami masalah gemuk yang berlebihan juga
dilaporkan lebih cenderung untuk mengamalkan diet yang berlebihan,
tidak makan mengikut jadual waktu yang sepatutnya dan menghabiskan masa
yang panjang di hadapan televisyen.
Kesan jangka masa panjang pula ialah mereka menerima layanan yang
kurang adil di tempat kerja dan kadar perkahwinan yang rendah (Puhl
& Brownell, 2003).
Bagaimanapun, tidak semua kanakkanak yang mengalami kegemukan
berlebihan mengalami masalah psikologi. Kanak-kanak yang sering
bercakap dengan ibu bapa mereka tentang tabiat pemakanan kurang
berkemungkinan terlibat dalam tingkah laku tidak sihat.
Beberapa cadangan telah diberikan untuk mengurangkan masalah 3G ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mencadangkan dua amalan
asas untuk menangani masalah 3G ini iaitu mengambil makanan berkhasiat
mengikut keperluan tubuh dan melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi.
Cadangan lain ialah media boleh menunjukkan program-program kecergasan dan cara-cara menangani kegemukan.
Melakukan senaman sekurang-kurang 30 minit sehari, tiga kali seminggu
juga dikatakan dapat mengurangkan masalah kegemukan. Masalahnya ialah
adakah kita cukup beriltizam untuk melakukan senaman seperti yang
dicadangkan. Penggunaan makanan yang tinggi kandungan lemak dan gula
juga patut dikurangkan.


No comments:
Post a Comment